Tuesday 3 April 2012

Budaya Membaca

     Rakyat Malaysia dikategorikan sebagai masyarakat yang kurang membaca. Mengikut kajian Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), rakyat Malaysia secara purata hanya membaca dua buah buku setahun. Membaca dan memiliki buku merupakan budaya yang perlu disemaikan oleh ibu bapa dalam diri anak-anak mereka. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menyediakan perpustakaan mini di rumah. Perpustakaan ini mestilah dilengkapi dengan bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak. Selain itu , ruang perpustakaan tersebut juga mestilah dalam keadaan selesa. Ibu bapa juga boleh menjadikan buku sebagai hadiah semasa hari ulang tahun kelahiran anak-anak mereka. Ibu bapa yang mengamalkan tabiat rajin membaca di rumah akan merangsang anak-anak untuk turut membaca. Sesungguhnya, kedua-dua ibu bapa perlu menjadi contoh yang baik kepada anak-anak kerana anak-anak biasanya akan mudah meniru perbuatan orang yang terdekat dengan mereka.
     Tindakan kerajaan mewujudkan perpustakaan desa dan mengadakan perpustakaan bergerak membolehkan masyarakat di kawasan luar bandar memperoleh kemudahan memiliki bahan bacaan. Dalam usaha meningkatkan jumlah bahan bacaan terbitan luar negara pula, kerajaan boleh menurunkan jumlah cukai import bahan-bahan bercetak dari luar negara. Kempen amalan membaca yang dilancarkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula patut disahut oleh semua pihak. Bulan Julai yang telah dipilih sebagai bulan membaca tidak sepatutnya menjadi retorik semata-mata. Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran  diharapkan dapat menyuntik semangat rajin membaca dalam diri para pelajar. Seterusnya, pihak sekolah boleh menganjurkan pertandingan membaca buku sebagai inisiatif menanamkan semangat suka membaca dalam kalangan pelajar. Pihak swasta juga boleh memainkan peranan dalam usaha untuk melahirkan masyarakat yang suka membaca dengan menerbitkan lebih banyak buku yang menarik. Dengan menggunakan media elektronik pula, masyarakat boleh memuat turun bahan bacaan dari Internet untuk dibaca dan disimpan sebagai koleksi peribadi. Dengan kepesatan teknologi yang semakin memudahkan urusan seharian kita pada hari ini , tiada alasan lagi sebenarnya untuk mengatakan tidak ada masa untuk membaca.


Ditulis oleh Aqilah Izaati binti Razman

No comments:

Post a Comment